fbpx

Kanak-kanak mandi sungai bersama rakan ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menemui mayat seorang kanak-kanak dipercayai lemas selepas mandi sungai bersama rakan di bawah jambatan Sungai Inanam.

KOTA KINABALU – Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang semalam ditemui di Sungai Inanam, bawah jambatan berhampiran stesen minyak di Jalan Tuaran Lama pagi tadi.

Almunel Unim, 11, ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang sedang melaksanakan operasi menyelamat kira-kira pukul 6.25 pagi hari ini.

Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit sekitar pukul 9.06 malam tadi selepas ibu kanak-kanak berkenaan datang ke balai untuk meminta pertolongan mencari anaknya.

“Sepasukan anggota serta pegawai diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Kanak-kanak warga asing berkenaan dikatakan mandi bersama lima rakannya di bawah jambatan Sungai Inanam kira-kira jam 12 tengah hari hari sama.

“Bagaimanapun, mangsa didakwa lemas dan gagal diselamatkan.

“Rakan-rakan mangsa kemudiannya pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Agustavia memaklumkan operasi mencari dan menyelamat membabitkan seramai 12 anggota dan seorang pegawai serta dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 11.45 malam tadi sebelum disambung semula pada pukul 6 pagi tadi.

“Mangsa berjaya ditemui pada pukul 6.25 pagi dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian sejurus operasi disambung semula.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” Katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI