ROM – Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini mengakui puas selepas menyaksikan anak-anak buahnya merekodkan kemenangan bersih pada saingan peringkat Kumpulan A, Euro 2020 sekali gus meraih mata maksimum dengan menewaskan Wales 1-0 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadio Olimpico, skuad The Azzuri yang berjaya mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati lebih awal telah merombak sebahagian besar kesebelasan utamanya dan berjaya meraih kemenangan hasil gol tunggal Matteo Pessina pada minit ke-39.
Kata Mancini, kualiti yang dipamerkan oleh pasukannya secara keseluruhan cukup menakjubkan kerana keputusan itu membuktikan bahawa semua pemain Itali memiliki kualiti walaupun menukar lapan pemain dalam kesebelasan utama.
“Meskipun saya membuat keputusan untuk merombak pasukan dengan memasukkan lapan pemain yang sebelum ini hanya memanaskan bangku simpanan, corak permainan kami tidak berubah dan lebih membanggakan turut meraih kemenangan.
“Tumpuan tidak hanya diberikan pada aspek menyerang, sebaliknya pertahanan yang cukup kebal dan saya sangat berpuas hati memandangkan kami masih lagi belum dibolosi sepanjang kempen Euro 2020 kali ini.
“Kini, kami perlu menunggu siapakah lawan di pusingan kalah mati dan saya harap venue di Stadium Wembley, London dapat terus memberi tuah buat pasukan yang berharap untuk melangkah jauh kali ini,” kata Mancini.
Sementara itu, pemain tengah Itali, Marco Verrati percaya keputusan Mancini untuk meletakkan skuad kedua adalah tepat sekali gus menjadi bukti bahawa semua 26 pemain yang disenaraikan pada Euro 2020 kali ini memiliki peranan cukup penting.
“Apa yang jurulatih (Mancini) lakukan boleh menaikkan motivasi semua pemain kerana kami percaya setiap individu memiliki peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memberi yang terbaik tidak kira sebagai pemain simpanan atau kesebelasan utama,” katanya. – AGENSI