JOHOR BAHRU – Kira-kira 150,000 rakyat Malaysia yang masih berkelana di Singapura untuk mencari rezeki kini hidup dalam keadaan duka lara apabila mereka terpaksa menanggung rindu dan kesedihan yang tidak terhingga kepada keluarga di tanah air.
Kebanyakannya sudah lebih setahun tidak pulang ke Malaysia, malah tidak sempat melihat wajah ibu bapa yang telah meninggal dunia buat kali terakhir selain menjenguk isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.
Seorang tukang masak di Singapura, Rosnah Ismail, 47, berkata, sejak sempadan negara ditutup pada 18 Mac tahun lalu, dia masih tidak dapat pulang melawat anak-anaknya yang tinggal di Johor Bahru.
Lebih menyedihkan, dia juga tidak berkesempatan pulang ke Kelantan untuk melihat wajah terakhir bapanya, Ismail Yusuf yang meninggal dunia pada 23 Disember tahun lepas.
“Saya sudah kerja di sini (Singapura) lebih lima tahun, sebelum ini kerja di Johor Bahru. Sejak pintu sempadan ditutup, saya belum dapat balik jenguk anak-anak yang tinggal bersama kakak mereka di Taman Bukit Mutiara, Johor Bahru.
“Ketika bapa meninggal dunia pun saya tak balik, raya pun tak pulang dan anak saya kahwin pun lihat dalam telefon sahaja.
“Saya perlukan kos kira-kira S$3,000 (RM9,255) untuk sekali pulang. Gaji saya di sini pun bukanlah sebesar mana, sekadar cukup untuk tanggung empat anak yang masih sekolah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Rosnah tinggal di Singapura bersama suaminya yang juga bekerja di negara itu.
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, segala perbelanjaan termasuk kos kuarantin dan pemeriksaan kesihatan perlu ditanggung mereka sendiri yang menelan belanja yang tinggi.
Seorang pemandu ambulans di Singapura, Mohd. Amir Din Ab. Rahim, 27, berkata, dia mula bekerja di Singapura pada 2016, namun masih belum pulang ke Malaysia sejak Mac tahun lalu.
“Pada Julai tahun lalu, isteri saya tergelincir di dapur rumah sehingga retak tulang belakangnya, tetapi malangnya saya tak dapat pulang.
“Isteri saya buat pembedahan pada bulan lalu pun saya tak balik kerana kos untuk pulang sangat tinggi. Saya nak balik pun kena tunggu 14 hari barulah boleh berjumpa isteri kerana perlu kuarantin terlebih dahulu,” katanya.
Seorang pekerja syarikat penghantaran, Muhammad Nazri Che Ismail, 28, pula berharap pintu sempadan kedua-dua negara segera dibuka supaya boleh berulang-alik secara harian.
“Mac tahun lalu, anak saya baru berusia dua bulan, sekarang sudah setahun lebih umurnya, membesar tanpa ayah di sisi.
“Nak balik Johor Bahru, kerja pun susah nak dapat, jadi saya pilih untuk terus bertahan hidup di sini,” katanya.
Sementara itu, nasib seorang juruteknik kimpalan syarikat minyak dan gas di Singapura, Ahmad Izwan Mohd. Noor, 32, sedikit berbeza apabila dibenarkan pulang ke Johor Bahru selepas banyak kapal tidak dibenarkan masuk ke Singapura dari Mei hingga September 2020.
“Empat bulan jugalah menganggur sebelum syarikat panggil saya semula untuk bekerja. Kalau boleh, memang saya mahu berulang-alik bekerja sebab boleh jumpa isteri dan anak setiap hari.
“Namun, pandemik Covid-19 telah meragut kebahagian kami.
“Sejak pulang semula ke Singapura, saya belum sempat nak cium anak kembar yang baru dilahirkan pada Mac lalu,” katanya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, hidup di negara orang ketika ini amat sengsara terutamanya dari segi kewangan.
Ujarnya, dia terpaksa membelanjakan kos sara hidup lebih S$1,000 (RM3,083) sebulan untuk bayaran sewa bilik, bil utiliti, caj tempat letak kenderaan serta makan minum.
“Ketika ini saya terpaksa berjimat, nak berhenti kerja, saya tak tahu nak kerja apa di Johor, sekarang nak cari kerja pun susah.
“Saya berharap dengan pelaksanaan total lockdown di Malaysia ketika ini mampu mengurangkan kes Covid-19 secara mendadak sekali gus membuka semula pintu sempadan kedua-dua negara,” ujarnya.
Lebih 3,000 rakyat Malaysia derita dibantu untuk pulang
JOHOR BAHRU – Keperitan hidup rakyat Malaysia yang mencari nafkah di Singapura akibat kos sara hidup yang tinggi mendapat perhatian pelbagai individu dan pertubuhan sukarelawan termasuk 1thirdmedia Movement Volunteer.
1thirdmedia Movement Volunteer adalah salah satu pertubuhan yang membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Kota Singa itu.
Jurucakap 1thirdmedia Movement Volunteer, Farrah Diyana Mohamad Ali berkata, sehingga kini pihaknya telah membantu lebih 3,000 individu yang mempunyai masalah kewangan, tempat tinggal dan makanan dalam pelbagai bentuk bantuan.
“Kami juga membantu membawa mereka yang sudah tidak lagi tahan bekerja di Singapura kerana kos sara hidup yang tinggi dan rindukan keluarga untuk dibawa pulang ke tanah air.
“Kos sara hidup di Singapura antara S$1,000 hingga S$1,500 (RM3,085 hingga RM4,600) sebulan, sebab itu mereka tidak mampu bertahan dan memilih untuk pulang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Farrah Diyana juga memohon Kerajaan Malaysia campur tangan dalam membantu meringankan beban pekerja Malaysia yang tinggal di negara jiran itu.
Katanya, kerajaan perlu meneliti semula kos yang perlu ditanggung pekerja Malaysia jika mahu pulang menerusi program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) selain tempoh kuarantin.
“Ketika ini, individu yang pulang ke Malaysia dari Singapura perlu dikuarantin selama 14 hari dan setelah kembali semula ke Singapura, mereka juga terpaksa dikuarantin lagi selama 21 hari dan kos pulang pula mencecah RM10,000 seorang,” ujarnya.
Baru-baru, Menteri Pengangkutan Singapura dan Malaysia juga berharap perjalanan rentas sempadan akan dapat dibuka semula apabila keadaan Covid-19 bertambah baik.