REMBAU: Sebanyak dua buah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di daerah ini pada hujung bulan ini sebagai tambahan bagi meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada rakyat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan dua buah PPV itu juga bagi menangani situasi sukar terutamanya kepada penduduk di Rantau yang terpaksa ke Seremban untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka.
“Sebuah PPV di Kompleks Pusat Islam Rantau di sini dicadang untuk dibuka bagi menambah PPV sedia ada di Rembau, ia khusus buat penduduk di Rantau yang ketika ini terpaksa ke Seremban untuk mendapatkan vaksinasi. Kami mahu kurangkan pergerakan mereka untuk menerima vaksin dan ia akan mula beroperasi Julai ini.
“Saya juga telah meluluskan pembukaan sebuah lagi PPV di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau yang akan beroperasi bulan Julai ini dan juga melihat beberapa lokasi lain untuk kawasan Senawang dan Paroi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi cadangan lokasi PPV yang akan dibuka di Kompleks Pusat Islam Rantau, dekat sini hari ini.
Menurut Khairy lagi, apabila dibuka kelak PPV Kompleks Pusat Islam Rantau mampu memberi suntikan maksimum 400 dos sehari manakala di UiTM Rembau sebanyak 1,000 penerima sehari.
“Berkemungkinan boleh menggunakan konsep pandu lalu di Kompleks Balai Islam Rantau ini bagi dos kedua suntikan,” katanya lagi.-K!ONLINE