CONPENHAGEN – Denmark berjaya melangkah ke pusingan kalah mati dengan kemenangan bergaya menerusi kebangkitan penuh dramatik menewaskan Rusia 4-1 pada aksi Kumpulan B, Euro 2020 di Stadium Parken sebentar tadi.
Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan cukup menarik terutama Denmark yang dilihat agresif untuk mencari kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B.
Rusia hampir membuka jaringan pembukaan menerusi larian cantik Aleksandr Golovin selepas berjaya mengatasi dua pemain pertahanan Denmark, namun rembatan deras bintang AS Monaco tersebut berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Kasper Schmeichel.
Ketika Rusia cuba mengatur strategi, Denmark melakukan serangan balas dan mendahului perlawanan pada minit ke-38 menerusi rembatan kencang Mikkel Damsgaard dari tengah berjaya mengatasi penjaga gol Rusia, Matvei Safonov.
Bersambung babak kedua perlawanan, kesilapan pemain pertahanan Rusia yang cuba menghantar bola ke belakang pantas disambar Yussuf Poulsen yang kemudiannya mudah menewaskan Safonov pada minit ke-59.
Rusia kembali merapat kedudukan apabila Artem Dzyuba menjaringkan gol pada minit ke-70 menerusi hadiah sepakan penalti.
Denmark terus selesa apabila meraih gol ketiga yang berpunca daripada pemain pertahanan Denmark, Andreas Christensen selepas rembatan padunya dari tengah berjaya menerjah ke gawang gol pada minit ke-79.
Dua minit selepas jaringan tersebut, Joakim Maehle terus menambah derita Rusia apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82. Denmark terus mengekang asakan Rusia dan keputusan 4-1 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan.
Denmark menutup kemenangan mereka dengan keputusan 4-1 sekali gus menduduki tangga kedua Kumpulan B susulan Finland tewas kepada Belgium dalam satu lagi aksi Kumpulan B. – K! ONLINE