SAO PAULO – Jurulatih Colombia, Reinaldo Rueda mengakui sangat terkejut dengan aksi dipamerkan oleh Peru yang berjaya menewaskan skuad bimbingannya 2-1 pada aksi Copa America 2021 pagi semalam.
Menurutnya, Colombia pada 3 Jun lalu berjaya menewaskan Peru di Lima 3-0 pada aksi persahabatan sebelum mereka memulakan kempen Copa America kali ini.
“Kali ini adalah aksi yang sangat berbeza dipamerkan oleh Peru dan ia membuatkan saya terkejut. Mereka tampil dengan aksi yang sangat baik menyebabkan kami tidak mampu mengekang mereka.
“Tanpa ragu-ragu, saya mengakui pada awal permainan kami kehilangan sifat agresif dan mobiliti. Ia tidak seperti apa yang kami pamerkan ketika aksi di Lima tempoh hari,” katanya.
Keputusan ini menyaksikan Colombia mencatat kekalahan pertama dalam saingan kali ini selepas terdahulu meraih satu kemenangan ketika berdepan Ecuador, sebelum terikat tanpa jaringan menentang Venezuela.
Jelas Rueda, masalah yang mereka hadapi ketika ini adalah sentuhan penyudah yang kurang berkesan apabila sekadar meledak dua gol dalam tiga aksi dan berharap tiga penggempur mereka, Luis Muriel, Duvan Zapata dan Miguel Borja mampu mempertajamkan bahagian serangan.
“Kami mempunyai penyerang yang sangat cemerlang bersama kelab masing-masing. Kami hilang sentuhan itu di sini dan saya harap mereka dapat mengawal rasa gementar supaya dapat bermain seperti biasa,” jelasnya.
Colombia masih berpeluang mara ke suku akhir apabila menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan empat mata dan bakal berdepan Brazil pagi Khamis nanti. – AGENSI