ATLET angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin membawa tonik terbaik sebelum menuju ke Sukan Paralimpik Tokyo apabila melakukan kejutan memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230 kilogram (kg) pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza ke-11 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.
Pada kejohanan tersebut, atlet berusia 22 tahun itu dilihat tidak berdepan sebarang kesukaran untuk melakukan angkatan pertama dengan bebanan 210kg sebelum melepasi 221kg pada angkatan kedua.
Bonnie dilihat cuba memperbaharui rekod dunia dengan angkatan 230kg pada angkatan ketiga, namun dibatalkan.
Bagaimanapun, Bonnie dilihat tidak berputus asa dan berjaya melakukan angkatan tersebut sekali gus memecahkan rekod dunia yang sebelumnya dipegang oleh Rustami dengan angkatan 229kg semasa kejohanan Para Asia Jakarta 2018.
Kejayaan tersebut merupakan persiapan terbaik atlet kelahiran Sarawak tersebut menyertai temasya Paralimpik Tokyo yang membuka tirai 24 Ogos hingga 5 September depan.
“Tahniah diucapkan kepada atlet Para Powerlifting Negara, Bonnie Bunyau yang baru sahaja memenangi pingat emas di Dubai, UAE.
“Satu kejayaan yang amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Semoga dapat mengekalkan momentum, terus konsisten dan bawa semangat ini ke Kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 tidak lama lagi. Syabas Bonnie!,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebook dan Twitter.
Pada Mei lalu, Bonnie turut meraih pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia di Bangkok, Thailand selepas berjaya melakukan angkatan seberat 226kg sekali gus mencipta rekod peribadinya.
Ketika itu, Bonnie cuba melakukan angkatan 229kg bagi memecahkan rekod dunia namun gagal selepas cubaan kali keempat. – K! ONLINE