PETALING JAYA – Bukan sekadar menarik perhatian, aksi penyanyi dan juga pelakon Nabila Razali membawa patung dinosaur ketika menerima suntikan dos pertama vaksin jenis AstraZeneca, semalam turut mengundangkan kejian, bahkan digelar gedik dan mengada-ngada.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelantun lagu Peluang Kedua itu dilihat memeluk sebuah patung dinosaur berwarna hijau yang dibawa bersama sebagai teman ketika menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya.
“Alhamdulillah. Bella (panggilannya) bersama baby Joong-Ki (dinosaur) dah pun selesai dapatkan dos pertama vaksin Covid-19 di Universiti Malaya. Sekejap sahaja proses dia,” katanya.
Nama Joong-Ki diberikan pada patung dinosaur tersebut bersempena nama seorang pelakon popular dari Korea Selatan yang begitu diminati Nabila.
Dalam hantaran itu juga, Nabila turut memberitahu dia tidak berasa sakit ketika disuntik dan dilayan dengan baik oleh petugas kesihatan di sana.
“Terima kasih banyak-banyak semua!” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, terdapat segelintir netizen kelihatan tidak berpuas hati dan mengecam selebriti itu apabila dikatakan mengada-ngada kerana membawa patung dinosaur sebagai teman di PPV.
“Kenapa perlu bawa ‘benda alah’ (patung dinosaur) itu? Bantal itu sahaja berapa banyak virus boleh melekat. Apa faedah ya? Nanti ramai pula yang bawa bantal,” tegur seorang pengguna Instagram.
Malah, ada netizen turut mempersoalkan tindakan Nabila apabila dapat merakam video ketika menerima suntikan vaksin.
“Kalau artis boleh pula rakam. Kalau kami siap kena tegur lagi. Petugas kesihatan pun pilih kasih,” kata seorang pengikutnya.
Biarpun dikecam, ramai juga dalam kalangan peminat terhibur melihat gelagat penyanyi itu yang disifatkan comel dan manja ketika membawa bersama patung dinosaur sebagai teman.
“Comelnya. Kena cucuk pun bawa ‘teman’ bersama,” kata salah seorang pengikutnya dalam Instagram.
“Alahai kelakarlah Nabila. Comelnya dia,” komen seorang lagi peminatnya. -K! 0NLINE