TANGKAK- Kerajaan akan menilai pelbagai faktor serta risiko sebelum memutuskan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibentangkan melalui Pelan Pemulihan Negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu penting demi memastikan setiap perubahan yang ditentukan kerajaan adalah kekal selamat dan berkesan.
“Untuk sekarang ini kita tinggal beberapa hari sahaja lagi, jika kadar kes boleh diturunkan mengikut jadual yang dirangka, maka kita akan beralih ke fasa kedua, begitulah keadaannya.
“Jadi disebabkan itu, kerajaan akan perhati lagi, kita tak akan umum sekarang. Kebiasaannya kita beri tempoh dua atau tiga hari sama ada perlu diteruskan (fasa satu) atau kita akan beralih.
“Yang penting ialah kita kena faham walaupun kerajaan dah tentukan tarikh-tarikh untuk tempoh kadar kes, katil-katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau vaksinasi, kita tetap ada nilai ambang dan ia akan ditentukan mengikut penyesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk beralih ke fasa seterusnya memandangkan tinggal enam hari lagi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 tamat pada 28 Jun ini dengan kadar kes masih di atas 4,000.
Terdahulu, Muhyiddin ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua sistem yang ada bagi memastikan kaedah intervensi boleh dilakukan sebelum ianya diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). -K! ONLINE