GEORGE TOWN – Hasrat 21 kaki judi jenis yoke mempertaruhkan wang ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) di sebuah rumah kedai di Gat Lebuh Macallum di sini memakan diri apabila premis itu diserbu polis petang semalam.
Mereka yang terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita tempatan yang masing-masing berusia 30 hingga 64 itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira pukul 5.30 petang.
Semasa serbuan, kesemua kaki judi tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan berkenaan terlebih dahulu dikepung pihak berkuasa terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan mendapati 20 daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
Menurutnya, turut dirampas adalah sejumlah wang tunai berjumlah RM4,000 disyaki hasil pertaruhan dalam aktiviti tersebut.
“Dalam operasi itu, pemilik premis berusia 54 tahun itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM20,000 atas kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021.
“Siasatan ke atas lelaki tersebut (pemilik premis) akan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selepas disyaki menganjurkan aktiviti perjudian terbabit,” katanya di sini.
Beliau memberitahu lagi, tangkapan yang lain juga masing-masing dikenakan kompaun bernilai RM4,000 setiap seorang dan telah ditahan reman selama dua hari sehingga esok.
Jelasnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki bermain judi di dalam bangunan. K! ONLINE