SHAH ALAM – Kebimbangan seorang pesara kerajaan terhadap kesan vaksin ternyata meleset apabila tidak mengalaminya sebarang implikasi serius selepas 15 minit menerima suntikan itu hari ini.
Maziah Mahmud, 68, memberitahu, dia sebelum ini ‘disogokkan’ dengan pelbagai laporan di media sosial yang menyebabkannya sangsi terhadap keperluan vaksin itu.
Katanya, proses pengambilan vaksin juga tersusun dan cepat dalam tempoh 15 minit sebelum perlu dipantau 15 minit kemudian selepas menerima suntikan.
“Jiran saya sebelum ini ada terima suntikan dan menyatakan tidak perlu percaya khabar angin.
“Justeru, lima hari lalu saya mendaftar di aplikasi MySejahtera dan hari ini terus mendapat suntikan. Tiada sebarang kesan sepanjang tempoh suntikan ini dan berharap vaksin ini dapat menambahkan imun melawan Covid-19,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Mega Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini, hari ini. – K! ONLINE