Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Ketidakadilan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 menyebabkan negara Asia termasuk Malaysia ketinggalan berbanding negara yang bernaung di bawah Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara EU berunding dengan pembekal vaksin Covid-19 bagi membolehkan pembelian secara pukal manakala kilang vaksin semuanya berada di negara Eropah.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, atas faktor itulah, kadar vaksinasi Malaysia bergantung kepada bekalan di mana semua bekalan terbabit dibolot negara di bawah EU.
“Tindakan mereka juga menyebabkan negara Asia termasuk Jepun yang dikenali sebuah negara yang maju turut terkebelakang apabila membabitkan vaksinasi berbanding Eropah seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada manakala Amerika Selatan yang menerima bantuan Amerika Syarikat juga mencapai imuniti kelompok lebih awal.
“Sepatutnya buatlah perbandingan dengan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam kerana Malaysia mendahului semua negara itu apabila melibatkan kadar vaksinasi dan kita menghampiri Jepun. Ini adalah usaha kerajaan padar kadar yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata secara maya, hari ini.-K! ONLINE