JAKARTA – Kerajan Indonesia digesa mengenakan semula sekatan pergerakan rakyat apabila peningkatan kes Covid-19 mencapai sehingga 500 peratus dalam masa sebulan, lapor akhbar Arab News, semalam.
Jumlah harian jangkitan Covid-19 baru meningkat dari 2,385 pada 15 Mei kepada 12,624 pada 17 Jun, menurut data rasmi.
Lonjakan itu dipercayai akibat cuti sambutan Hari Raya Aidil Fitri apabila jutaan penduduk pulang ke kampung atau mudik lebaran terutama ke bandar di Pulau Jawa yang mempunyai penduduk yang padat.
Setakat kelmarin, Indonesia melaporkan 12,906 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,976,172 kes.
Pada Jumaat lalu, persatuan perubatan mengeluarkan kenyataan bersama untuk pentadbiran pusat mengenakan sekatan luas terhadap kegiatan awam di seluruh Jawa.
Doktor mengatakan bahawa hospital di bandar-bandar di pulau berkenaan sudah kehabisan tempat tidur sementara sistem penjagaan kesihatan boleh runtuh bila-bila masa kecuali jika pemerintah campur tangan untuk mengekang penyebaran penyakit ini.
“Jangan biarkan kami menjadi India kedua,” kata Erlina Burhan dari Persatuan Ahli Pulmonologi Indonesia (PDPI) dalam satu sidang media maya.
Ketua Persatuan Pediatrik Indonesia (IDAI), Aman Pulungan turut meminta ibu bapa untuk membatasi aktiviti luar anak-anak di saat kerajaan bercadang membuka kembali sekolah untuk sesi akademik tidak lama lagi.
“Data persatuan menunjukkan angka kematian kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak di Indonesia adalah hingga lima peratus atau tertinggi di dunia,” katanya.
Sementara itu, ribuan penduduk telah menandatangani petisyen online kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang mendesaknya untuk meningkatkan kawalan kerajaan berkenaan krisis Covid-19.
“Kami sudah mempunyai hampir 2,000 tandatangan sejak petisyen diwujudkan pada Jumaat lepas,” kata perunding kesihatan awam dan pengasas laporan Covid-19, Irma Hidayana. – Agensi