fbpx

Platform e-dagang lubuk emas buat usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembelian secara talian mendapat tempat kini. - Gambar hiasan

“Ala, beli di Shopee, murah RM10 sahaja,” perkataan itu biasa kita dengar dan tanpa disedari, kita juga biasa menuturkan perkataan tersebut apabila ada rakan bertanya perihal barangan yang dibeli di platform e-dagang.

Adalah perkara biasa bagi warga kota, masyarakat di luar bandar, golongan B40, M40, T20, warga emas dan juga kanak-kanak membeli-belah melalui platform e-dagang yang terkenal seperti di Shopee dan Lazada.

Shopee adalah antara syarikat pemula e-dagang yang beroperasi tahun 2015 dan kini tersenarai sebagai antara laman web paling kerap dikunjungi netizen.

Seiring dengan norma baharu masyarakat ekoran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu yang lebih suka memilih kaedah membeli-belah secara online, telah mengukuhkan lagi jenama syarikat dengan catatan rekod prestasi jualan yang menggalakkan saban tahun.

Kempen jualan secara besar-besaran yang dianjurkan juga sering menjadi tumpuan pelanggan dan gimik menggunakan angka seperti 6.6, 11.11 dan 12.12 juga membantu meningkatkan jualan usahawan dan dalam masa yang sama, pelanggan dapat menikmati penjimatan yang besar dengan membeli barangan pada harga yang sangat murah.

Berdasarkan rekod Shopee pada sesi Jualan Hebat 11.11 tahun lalu, penjual yang menyertai acara berkenaan buat kali pertamanya telah berjaya merekodkan peningkatan pesanan sebanyak 10 kali ganda berbanding jualan pada hari biasa.

Selain itu, dalam kempen tersebut, lonjakan aktiviti membeli-belah di platform itu juga telah memberi peluang kepada kira-kira 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat jualan sebanyak RM55,000 dan lebih daripada 650,000 barangan dijual dalam masa satu jam sahaja.

Platform e-dagang merupakan punca rezeki dan lubuk emas buat usahawan dalam mendepani persekitaran ekonomi yang sukar kini.

Buat usahawan baharu yang masih kurang arif, pelbagai kursus, latihan dan bimbingan telah ditawarkan secara offline dan online daripada syarikat yang menyediakan konsultansi bagi meningkatkan ilmu pengetahuan usahawan dalam bidang tersebut.

Lebih menarik, syarikat konsultasi ini turut membangunkan pelbagai sistem aplikasi yang unik bagi membolehkan usahawan menguruskan ‘kedai’ masing-masing di platform tersebut mempercepatkan proses mengambil tempahan daripada pelanggan, mengemas kini barangan dan menambah stok.

Perlu diingat, pelanggan juga mahu barangan yang ditempah turut dihantar dalam tempoh masa segera, dibungkus dengan rapi bagi mengelakkan sebarang kerosakan, berkualiti dan berbaloi dengan nilai belian.

Lebih penting, khidmat rakan penghantar juga menjadi keutamaan kerana tanpa mereka, industri e-dagang akan lumpuh.

Terima kasih kepada semua penghantar (tidak kira daripada pelbagai jenama syarikat), anda adalah barisan hadapan dan juga wira negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI