PETALING JAYA – Satu klip video memaparkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi mengambil lajak sebelum membelok masuk simpang sehingga nyaris melanggar seorang penghantar barang tular di media sosial sejak ia dimuat naik di aplikasi TikTok baru-baru ini.
Insiden itu dipercayai berlaku di Lembah Sireh, Kota Bharu dan menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal terjatuh selepas membrek kenderaannya secara mengejut.
Kebanyakan pengguna TikTok memberi ulasan lucu berhubung cara pemanduan wanita itu yang dikatakan kerap menimbulkan kontroversi dan tular di media sosial.
Lebih mencuit hati apabila pemandu wanita itu keluar dari kenderaannnya dan kelihatan seperti ‘menadah tangan’ seolah-olah memohon maaf kepada penghantar barang yang terbaring di atas jalan raya.
“Biasalah, pemandu sudah biasa memandu sebuah treler 10 tayar. Itu yang dia ambil jarak jauh sebelum masuk simpang,” gurau pemilik akaun bernama @apis berkata.
“Treler sahaja yang ambil ‘side’ sebegitu jika mahu membelok. Itu pun pemandu siap-siap bagi lampu isyarat sebelum masuk ke simpang,” komen seorang lagi netizen.
“Bukan Myvi yang bermasalah, tetapi tuannya. Kasihan Myvi asyik dipersalahkan sekiranya berlaku kemalangan,” ulas seorang lagi netizen bernama @AinaaAiniee.- K! ONLINE