PARIT BUNTAR – Malang menimpa seorang nenek apabila dia diacukan pisau dan disamun seorang lelaki yang berpura-pura untuk menyerahkan bantuan di rumahnya di Parit Tok Ngah, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dekat sini pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa berumur 66 tahun dikunjungi seorang lelaki yang tidak dikenali mahu menyampaikan bantuan sebungkus bihun.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, lelaki terbabit dikatakan melulu masuk ke dalam rumah sebaik pintu dibuka dan terus mengunci pintu.
Menurut beliau, lelaki itu kemudiannya bertindak mengacukan pisau dan mencekup mulut mangsa menggunakan tangan lalu memintanya menyerahkan duit serta rantai leher yang dipakai.
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan seutas rantai dan wang tunai berjumlah RM600 yang disimpan dalam dompet.
“Setelah hampir setengah jam menggeledah rumah, suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal ke arah Bagan Tiang,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Berdasarkan pengecaman mangsa, ketika kejadian lelaki tersebut memakai topi keledar berwarna hitam, jaket gelap, berseluar jeans berwarna biru muda, bercermin mata dan bertutur bahasa Melayu.-K! ONLINE