fbpx

‘Mengurat’ orang tua paling mencabar – Afea Deanna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WATAK Yah Kuchai popularkan Afea Deanna.

TUAH ayam nampak di kaki, rezeki manusia siapa yang tahu.

Mungkin peribahasa tersebut yang dapat menggambarkan rezeki populariti yang berjaya diraih oleh Afea Deanna Baharudean, 21, iaitu peneraju watak Yah Kuchai dalam drama bersiri popular Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Mamat Khalid.

Paling diingati, dialog ‘mi kari kuah laksa’. Bermula detik itulah watak Yah Kuchai menuai perhatian penonton sehingga menjadi tular dalam media sosial.
Ikuti temu bual Hib Glam bersama anak kelahiran Tanjung Piai, Johor itu mengenai ledakan watak Yah Kucai yang berjaya menggeletek hati penonton baru-baru ini.

KOSMO!: Tahniah Afea selepas berjaya menghidupkan watak Yah Kucai dengan baik. Boleh ceritakan impak karakter tersebut kepada kehidupan anda.
AFEA DEANNA: Jujurnya, tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran bahawa watak ini akan mendapat perhatian ramai sehingga tular dalam media sosial. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk oleh Uncle Mamat untuk mempersembahkan bakat lakonan yang tidak seberapa ini.
Jika bercakap tentang impak, sangat besar. Ya, semakin dikenali, tidaklah sampai dikerumun ramai tetapi ada juga yang menegur saya di luar dengan memanggil nama Yah Kuchai. Lucu juga bila orang sudah kenal saya.

Sebagai pendatang baharu dalam industri, sukar tak untuk menjayakan watak itu. Mungkin ada cabaran yang perlu Afea lalui?
Saya generasi milenial dan apabila diminta menjadi seorang wanita yang berpakaian dengan gaya vintaj dan bercakap cara orang lama memang sukar. Selalu juga dimarahi tetapi daripada situ saya belajar memperbaiki mutu lakonan. Terima kasih Uncle Mamat sebab banyak beri ilmu tentang cara untuk berlakon dengan baik.
Selain itu, saya merupakan seorang introvert dan apabila sudah bergelar pelakon, memerlukan saya untuk lebih banyak berkomunikasi. Pada awalnya saya banyak diam daripada bertanya tetapi lama-kelamaan, berjaya juga atasinya.

Boleh anda kongsikan babak atau episod sukar untuk dilakonkan dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri?
Rasanya semua susah (ketawa). Sebenarnya paling payah untuk disampaikan ialah babak yang memerlukan saya berpantun dan mengurat Pak Jabit lakonan Aziz M. Osman.
Banyak kali juga babak tersebut perlu dilakukan semula kerana sukar hendak sampaikan emosinya. Bukan senang nak masuk mood mengurat orang tua.

Sebagai pelakon baharu, apa pendapat anda mengenai drama atau filem yang mengetengahkan budaya dan kehidupan masyarakat Melayu seperti 18 Puasa di Kampung Pisang?
Bagi pendapat saya, cerita sebegini memang perlu diperbanyakkan lagi. Sudah terlampau banyak drama-drama yang tidak realistik ditayangkan dalam televisyen contohnya berkisarkan kehidupan golongan kayangan dan kahwin paksa. Hampir setiap hari saya dihidangkan dengan jalan cerita sebegini.
Mengapa perlu dan kerap hidangkan cerita yang tidak relevan dengan kehidupan serta budaya masyarakat tempatan.

Selepas ini apakah projek terbaharu dan perancangan untuk karier anda?
Setakat ini belum mendapat mana-mana tawaran berlakon lagi tetapi jika diberi peluang oleh mana-mana pengarah, saya akan terima dengan tangan terbuka.
Tidak mahu memilih kerana saya juga pelakon baharu, namun kalau boleh mahu mencuba watak selain perempuan tiga suku. Insya-Allah saya akan belajar dan berikan 100 peratus.
Selain itu, saya juga bakal menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni di sebuah universiti awam tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI