REMBAU – Seorang warga emas terkejut menemui mayat yang dibalut dengan kain di dalam kebun kelapa sawit, Jalan Pilin-Panchang dekat Kampung Pelebar Dalam di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Saleh Lesut, 78, pada mulanya ternampak sehelai tikar dan di atasnya terdapat objek berselubung kain.
Menurut Saleh, dia menghampiri dan menyelak kain tersebut sebelum ternampak seorang lelaki yang sudah tidak bernyawa namun mayat tersebut tidak berbau dan tidak berdarah.
“Saya segera pulang ke rumah yang terletak kurang satu kilometer dari lokasi kejadian dan meminta anak, Juana Saleh menghubungi polis. Saya tidak mengenalinya mungkin dia (si mati) bukan penduduk di kampung ini.
“Ini kali pertama kes penemuan mayat di kebun sawit kampung ini sejak saya menetap di sini pada tahun 1971,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – K! ONLINE