KAJANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah realiti kehidupan yang perlu dilalui ibu muda anak tujuh, Siti Azimah Tajudin, 30, selepas kehilangan suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, awal pagi Jumaat lalu.
Lebih hiba, kehilangan orang tersayang yang juga ketua keluarga itu terpaksa dilalui dalam keadaan dirinya ketika itu sedang menunggu masa untuk bersalin anak ketujuh di Hospital Kajang tatkala jenazah suami sedang dalam urusan bedah siasat di hospital sama.
Arwah suaminya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan didapati tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Sungai Ramal Dalam dekat sini.
Jenazahnya selamat dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Ramal Dalam selepas urusan siasat selesai.
Menghuni di rumah kos rendah dengan kadar sewa RM450 sebulan, ternyata ujian kehidupan keluarga itu telah mendapat perhatian komuniti setempat yang membantu menguruskan segala urusan jenazah dan proses kelahiran anak ketujuh Siti Azimah.
Pengerusi Anak-Anak Muda Sungai Ramal Dalam, Diky Zawawi Abu Hassan berkata, mengambil kira peranan komuniti setempat, usaha membantu keluarga berkenaan telah digerakkan.
“Komuniti setempat amat memahami dugaan yang dilalui keluarga ini lebih-lebih lagi arwah adalah individu yang turut sama menyertai program kemasyarakatan yang dijalankan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan dan penyerahan sumbangan keperluan harian bersama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam, di rumah keluarga berkenaan semalam.
Sementara itu, wakil PIBG SK Sungai Ramal Dalam, Maya Bahari berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan khususnya dari segi persekolahan anak-anaknya.
Kini Siti Azimah perlu terus tabah untuk membesarkan tujuh anaknya.
Mereka terdiri daripada Mohd. Shahrizan 12 tahun, Siti NurBalqis (10), Mohd. Danish Qayum (8), Mohd Firash Aiman (5), Siti Nur Airis (2), Mohd. Hamzah Ramadhan (setahun) dan bayi perempuan yang baru dilahirkan, Sabtu lalu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan, bolehlah berbuat demikian melalui akaun bank CIMB milik Siti Azimah Tajudin dengan nombor akaun 7065548933.