RANAU – Seorang lelaki warga asing maut berikutan dapur rumah didiaminya ditimpa runtuhan batu dalam kejadian di Kampung Pinousuk, Kundasang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersamanya isteri di dapur terbabit.
Bagaimanapun, isteri mangsa dan dua anak berusia 18 dan 6 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri manakala mangsa terperangkap di dalam rumah berkenaan ketika runtuhan berlaku.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa terus dibawa ke Hospital Ranau bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media hari ini.