KURANG 24 jam selepas dibuka secara rasmi, akaun YouTube penyanyi popular Kim Jong-kook diserbu peminat yang teruja mengikuti perkembangan terkini dirinya dalam platform berkenaan.
Jong-kook mencipta akaun rasmi YouTubenya dengan nama GYM JONG KOOK pada 17 Jun lalu tepat pukul 6 petang.
Hanya dalam tempoh lebih kurang 14 jam diwujudkan, akaun YouTube Jong-kook menerima lebih 180,000 pelanggan dan sehingga kini dilanggan lebih 705,000 akaun.
Sebagai salam pengenalan, penyanyi yang terkenal dengan bentuk badan sasa itu memuat naik video pertama memaparkan dirinya menyapa peminat selain menonjolkan beberapa aksinya bermain alatan kecergasan di gimnasium.
“Saya cabar diri mencipta akaun YouTube sendiri. Lesen yang diperlukan oleh akaun ini hanyalah badan saya, ‘gym jong kook’.
“Saya akan buat yang terbaik supaya saluran ini menjadi medium untuk kita terus berhubung dan berkongsi banyak perkara dengan lebih kerap pada masa hadapan,” katanya.
Jong-kook yang merupakan ahli tetap program Running Man cukup terkenal dengan gelaran ‘si harimau’ kerana kekuatan fizikal yang dimilikinya.
Penyanyi lagu One Man itu turut berharap perkongsiannya tentang kecergasan fizikal dapat membantu warga Korea Selatan untuk hidup lebih sihat.