PUTRAJAYA – Empat pemilik syarikat kejuruteraan marin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek sebuah agensi penguatkuasaan dianggarkan berjumlah RM10 juta.
Dua daripada suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Jun manakala dua lagi direman dua hari sehingga esok.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan pihak SPRM.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 71 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 hingga 10 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Mereka dipercayai memberi rasuah kepada pegawai agensi penguatkuasaan tersebut sebagai balasan membantu syarikat-syarikat terbabit mendapatkan kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan berkaitan marin bermula 2018 hingga tahun ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -K! ONLINE