SUNGGUH, kelana selama lebih dua dekad di persada muzik tanah air telah meletakkan nama Liza Hanim dalam liga tersendiri.
Biarpun adakalanya berasa seakan-akan tidak percaya dengan pencapaian yang dilalui sejak menumpahkan cinta terhadap nyanyian seawal usia 17 tahun, siapa boleh menyangkal bahawa wanita itu pernah berdiri seiring dengan penyanyi hebat negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Berkat usaha berterusan tanpa mengenal jemu dan putus asa selain mengamalkan resmi menjadi diri sendiri, pegangan sebegitulah yang membuatkan pemilik nama penuh Haliza Hanim Abd. Halim kekal relevan di mata peminat.
“Jujurnya, kadang-kadang saya rasa tak percaya boleh sampai ke tahap ini.
“Dua dekad berlalu begitu saja. Rasa macam semalam baru mula menyanyi.
“Kini saya sudah berusia 42 tahun dan begitu pantas masa berlalu,” ungkap Liza tatkala memulakan perbualan bersama HibGlam.
Tambah anak kelahiran Klang, Selangor itu, walaupun terpaksa berdepan dengan pandemik maut Covid-19 ketika ini, rezekinya masih murah walaupun terpaksa akur tidak selebat dahulu.
“Bab pendapatan memang tak dinafikan terjejas. Bukan sikit tetapi banyak. Tetapi itulah pentingnya amalan menyimpan ketika usia muda.
“Jadi dengan duit simpanan itu jugalah saya gunakan untuk membayar apa-apa yang patut. Sedikit sebanyak dapatlah membantu suami,” katanya.
Single tergendala
Ditanya mengenai perkembangan terkini, pelantun yang popular menerusi lagu Gelisah Mimpi itu memberitahu, dia kini banyak menghabiskan masa terluang bersama keluarga tersayang.
Dek tidak dapat melakukan sebarang aktiviti seni sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia tidak ada pilihan selain hanya kekal berada di rumah bersama keluarga.
“Sepanjang PKP ni memang saya banyak habiskan masa di rumah sahaja bersama suami dan anak-anak. Nak buat persembahan nyanyian memang sah-sah tak boleh.
“Di rumah sekarang pun saya bukan jadi ibu dan isteri sahaja, saya jugalah jadi cef, guru dan sebagainya. Banyak peranan sekarang ni,” seloroh isteri Shah Indigo itu diselangi tawa.
Tambah Liza, kali terakhir sebelum PKP 3.0 dilaksanakan, dia terlibat sebagai seorang daripada 50 juri program pencarian bakat All Together Now Malaysia terbitan Astro Mac lalu.
“Kalau ikutkan saya bakal hadir dengan sebuah single terbaru hasil nukilan Ajai bulan lalu. Tetapi disebabkan PKP, semua benda jadi tergendala dan terpaksa ditunda terlebih dahulu.
“Sebab sasaran saya memang untuk keluarkan sebuah single pada setiap tahun.
“Terakhir menerusi naskhah Tiada yang saya sempat hasilkan sendiri untuk arwah ayah tercinta tahun lalu,” katanya yang kini berjinak-jinak menjalankan perniagaan hijab dan minyak wangi bawah jenama Hanim.
Rindu lakonan
Menyambung perbualan, Liza yang mula dikenali selepas memenangi tempat kedua menerusi pertandingan Golden Teen Search pada 1996 turut menyatakan kerinduan dalam dunia lakonan.
Beritahunya, dia memang rindukan dunia lakonan dan tawaran tersebut masih diterimanya hingga ke hari ini.
“Tawaran lakonan masih diterima sampai sekarang. Cuma kerana masa yang tidak sesuai jadi saya terpaksa tolak dengan cara baik.
“Lagi pun lakonan memerlukan komitmen dan masa yang betul-betul ketat. Jadi, untuk seorang ibu anak lima dan ada anak kecil berusia dua tahun mungkin lakonan sudah tidak sesuai.
“Bukannya saya langsung tidak mahu berlakon, keinginan dan kerinduan itu masih ada. Mana tahu ada peluang, watak bersesuaian dan kelapangan, pasti saya akan kembali ke set,” ujarnya.
Impian
Ditebak mengenai adakah seorang Liza Hanim sudah cukup puas bergelar anak seni, dia pantas mengakui belum mencapai kepuasan sebenar.
“Bercakap mengenai kepuasan, jujurnya saya belum puas selagi belum ada peluang untuk mengadakan konsert sendiri.
“Saya percaya itu adalah impian semua yang bergelar penyanyi, selain ada barisan single, album mini dan album penuh,” ujarnya.
Entah bila bakal jadi kenyataan, Liza tetap mengimpikan, sekurang-kurangnya dia hadir dengan sebuah konsert solo. Bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan sebagai penghargaan buat peminat yang sekian lama menyokong karier seninya.