BEIJING – Kerajaan China mengesahkan sudah mencapai jumlah suntikan satu bilion dos vaksin Covid-19 untuk rakyatnya, lapor akhbar South China Morning Post, semalam.
Menurut sumber pihak berkuasa kesihatan tempatan semalam, jumlah itu menjadikan suntikan dos vaksin di China melebihi satu pertiga daripada jumlah yang diberikan di seluruh dunia.
Kelancaran program vaksinasi China menunjukkan perkembangan yang signifikan dengan jumlah setiap hari melewati 20 juta suntikan dalam beberapa minggu terakhir dan jumlah keseluruhan meningkat dua kali ganda sejak 23 Mei lalu.
Sehingga kelmarin, lebih dari 990.25 juta dos telah diberikan di seluruh negara, demikian menurut data terbaru dari Suruhanjaya Kesihatan Nasional China.
Jumlah tersebut belum dapat ditandingi secara global dengan China menyumbang lebih daripada satu daripada setiap tiga dos yang diberikan setakat ini di seluruh dunia, lapor data Bloomberg.
Menurut laporan itu lagi, jumlah vaksinasi global mencecah sekitar 2.5 bilion pada minggu lalu dengan kadar 37 juta suntikan sehari setakat Jumaat lepas.
Purata suntikan vaksin harian China pada bulan ini pula sudah mencapai lebih 18 juta dos dengan hari tertinggi dicatat pada Jumaat lepas apabila lebih 23 juta dos suntikan diberikan.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat mengagumkan sama ada dari sudut kelancaran program vaksinasi dan juga sektor penghasilan vaksin sendiri,” kata rakan penyelidik di Hab Pembuatan Future Vaccine di Pusat Kejuruteraan Sistem Proses Kolej Imperial London, Zoltan Kis.
China telah menetapkan sasaran untuk memvaksinasi 40 peratus dari 1.4 bilion penduduknya sebelum Julai dan berharap untuk mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus dari populasi sasaran menjelang akhir tahun dengan menggunakan sepenuhnya vaksin buatan tempatan.
Namun begitu, China berdepan cabaran sukar dalam mencapai sasaran ditetapkan dengan negara itu mempunyai populasi terbesar di dunia seramai 1.398 bilion.
Sehingga kini, laporan lengkap dan jelas tentang seramai mana penduduk yang sudah menerima vaksinasi lengkap masih sukar dikumpul kerana data yang diterima kerajaan pusat jarang diperincikan dengan teliti.
Lima daripada tujuh vaksin tempatan yang dibenarkan untuk penggunaan umum atau kecemasan memerlukan dua dos, yang boleh diberikan sehingga lapan minggu manakala satu lagi memerlukan tiga suntikan untuk vaksinasi lengkap.
Kempen ini semakin mendesak berikutan wabak tempatan baru-baru ini, termasuk di bandar pelabuhan selatan utama Guangzhou dan sekitar wilayah Guangdong, di mana lebih dari 100 kes telah dikenal pasti sejak akhir Mei.
“Kes tempatan baru-baru ini menunjukkan bahawa situasi pencegahan dan kawalan wabak Covid-19 masih kekal suram.
“Kami masih memerlukan bantuan semua rakyat untuk membina ‘tembok kekebalan besar’,” kata wakil Ketua Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Zeng Yixin kepada agensi berita Xinhua. – Agensi