fbpx

Barat bimbang pemerintahan Islam acuan Taliban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGASAS bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar (tengah) dan delegasi Taliban menghadiri persidangan antarabangsa mengenai perdamaian di Afghanistan di Moscow pada 18 Mac 2021.- AFP

KABUL –  Kumpulan Taliban menyatakan kelmarin bahawa mereka kekal komited kepada rundingan damai tetapi bertegas bahawa hanya ‘sistem Islam sebenar’ adalah satu-satunya cara untuk menamatkan perang dan melindungi hak termasuk untuk wanita di Afghanistan.

Rundingan antara Taliban dan kerajaan Afghanistan menemui jalan buntu selama berbulan-bulan, manakala keganasan melonjak di negara itu sejak Mei lalu apabila tentera Amerika Syarikat (AS) memulakan pengunduran terakhirnya.

Kebimbangan turut meningkat bahawa sekiranya Taliban kembali berkuasa, mereka akan melaksanakan versi keras undang-undang Islam dengan kaum wanita dilarang bersekolah dan wanita sudah berkahwin yang dituduh berzina direjam sampai mati di stadium.

Di sebalik peningkatan keganasan, pengasas bersama dan timbalan ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar berkata kelmarin bahawa kumpulan itu komited pada rundingan damai.

“Penglibatan kami dalam rundingan menunjukkan kami percaya dalam menyelesaikan masalah melalui persefahaman bersama,” kata Abdul Ghani dalam satu kenyataan.

Katanya, satu-satunya cara untuk menamatkan konflik di Afghanistan adalah dengan melaksanakan sistem Islam selepas semua tentera asing berundur.

“Sistem Islam sebenar adalah cara terbaik untuk menyelesaikan semua isu di Afghanistan,” katanya. 

Beliau maklum tentang kebimbangan di dalam dan luar negara mengenai sistem pentadbiran yang akan dilaksanakan dan kesannya kepada wanita, namun berkata, perkara itu adalah dalam ruang litup rundingan antara pelbagai pihak di Afghanistan.

Abdul Ghani juga memberi jaminan bahawa hak semua rakyat Afghanistan termasuk wanita akan termaktub dalam sistem tersebut.

Bagaimanapun, ramai bimbang interpertasi hak tersebut akan bercanggah dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat Afghanistan sejak tahun 2001.

Pada Mei lalu, laporan perisikan AS menyatakan bahawa kemajuan melibatkan hak wanita akan hilang jika Taliban kembali berkuasa.

Ketika tentera AS mempergiatkan pengundurannya menjelang tarikh akhir pada 11 September ini, Taliban bertempur setiap hari dengan tentera kerajaan. Kumpulan itu mendakwa telah menawan 40 daerah setakat ini.

Kebimbangan dan ketidaktentuan tentang masa depan memaksa ramai warga Afghanistan meninggalkan negara itu termasuk beribu-ribu lelaki dan wanita yang takut pembalasan dendam kerana mereka bekerja untuk tentera asing. – AFP.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI