HULU SELANGOR – Dua pembantu perubatan kesihatan berdepan detik mencemaskan apabila ambulans yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar simpang secara mengejut di lampu isyarat Serendah, kilometer (km) 33 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, polis menerima laporan kemalangan melibatkan dua kenderaan itu pada pukul 8.05 malam.
“Hasil siasatan mendapati, ambulans yang dipandu lelaki berumur 45 tahun membawa dua penumpang wanita yang merupakan pembantu perubatan kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB).
“Ketika kejadian berlaku, ambulans tersebut dalam perjalanan dari Hospital Selayang untuk pulang ke Hospital KKB,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, ambulans meneruskan perjalanan kerana laluannya berlampu hijau.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari simpang Kampung Baru Serendah secara mengejut menyebabkan pemandu ambulans tidak sempat mengelak lalu bertembung.
“Berikutan itu, penunggang motosikal yang berusia 37 tahun cedera pada bahagian kepala dan kaki kanan.
“Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan manakala pemandu dan penumpang ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – K! ONLINE