KUALA LUMPUR – Seramai 80 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuala Lumpur sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, daripada 9,200 individu, 7,360 individu sudah lengkap menerima suntikan dos pertama dan kedua.
“Melalui program Mobile Vaksin Trak Bergerak MyMedik ini, kita jangkakan 100 peratus warga PDRM dan majoriti ahli keluarga mendapat suntikan.
“Melalui program ini juga, kita menyasarkan seramai 6,000 orang warga PDRM dan ahli keluarga yang belum menerima suntikan akan divaksin,” ujarnya ketika membuat lawatan ke tempat suntikan vaksin di Dewan Serbaguna Perumahan Polis Desa Tasik, di sini hari ini.
Jelas beliau, program pemberian vaksin ini akan dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Perumahan Polis Desa Tasik pada 21 hingga 26 Jun dengan jumlah penerima adalah seramai 3,600 orang.
“Program ini akan diteruskan ke Perumahan PDRM Desa Aman 1 dan 2 pada 24 Jun dengan jumlah penerima seramai 2,400 orang.
“Kita berterima kasih di atas kerjasama dan inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam membantu warga PDRM untuk mendapatkan vaksin, beliau juga berharap Wilayah Persekutuan akan menjadi wilayah pertama mencapai tahap imuniti berkelompok pada Ogos ini,” ujarnya. – K! ONLINE.