SAXONY – Pelumba pasukan Pramac Racing, Johann Zarco menampilkan tunggangan mantap apabila menyambar petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Zarco akan memulakan perlumbaan hari ini di petak hadapan selepas kali terakhir melakukannya pada GP Republik Czech Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, sebaik sahaja merekodkan catatan masa terpantas 1 minit 20.236 saat (s), pelumba kelahiran Perancis itu terpaksa menamatkan saingan lebih awal apabila terjatuh.
Bagaimanapun, Zarco mengakui gembira dengan prestasinya pada sesi kelayakan memandangkan dia berdepan kesukaran dengan jenteranya pada sesi latihan bebas.
“Saya sangat gembira kerana dapat menggunakan tayar dengan baik pada sesi kelayakan walaupun terjatuh pada penghujung saingan. Secara jujur, saya agak bergelut dengan jentera pada sesi sebelah pagi.
“Keyakinan memang sentiasa ada bersama saya dan cuba ‘kerah’ jentera ke tahap maksimum. Saya lega kerana situasi berubah pada sebelah petang,” katanya sejurus tamat saingan kelayakan.
Sementara itu, pendahulu kejuaraan dunia yang juga pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo akan memulakan perlumbaan di petak kedua, diikuti pelumba Aprilia, Aleix Espargaro.
Sebagai rekod, GP Jerman merupakan salah satu perlumbaan yang dibatalkan pada saingan musim lalu selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia. – AGENSI