SEBERANG PERAI – Tiga pelajar sekolah ditahan polis selepas dipercayai melakukan kegiatan samseng jalanan di Jalan Tok Keramat, Padang Tembak, Tasek Gelugor di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki berumur 12 tahun dan dua berusia 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasukan Skuad 42, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri telah mengesan dua buah motosikal yang ditunggangi tiga remaja lelaki.
“Mereka disyaki membuat aksi ‘wheelie’ bermula dari Jalan Titi Keramat ke arah Taman Cempedak sebelum ditahan.
“Kesemua mereka terdiri daripada pelajar sekolah iaitu penungang berusia 12 tahun dan pemboncengnya berusia 13 tahun dan penunggang sebuah lagi motosikal berusia 13 tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawal pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
“Jangan jadikan jalan itu sebagai litar lumba kerana ia mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya. – K! ONLINE