PETALING JAYA – Nasib malang seorang wanita yang kecewa kerana hanya menerima kotak telefon pintar apabila gajet tersebut dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab tular di laman Twitter sejak semalam.
Menurut wanita dengan nama@jules1anne itu, bungkusan telefon pintar yang dibeli untuk anaknya menerusi sebuah laman e-dagang itu sudah pun dalam keadaan koyak sebelum dia sempat membukanya.
“Penjual sudah pun membalut kotak telefon pintar tersebut dengan kertas lain sebelum dimasukkan ke dalam plastik bungkusan kurier. Kertas dan plastik kurier dua-dua koyak.
“Jadi, apabila isu begini berlaku, adakah saya perlu biarkan dan menerima perkara ini dari servis perkhidmatan kurier yang diberikan?” ciapnya.
Dalam pada itu, penghantar barang syarikat kurier tersebut sempat berjumpa dengannya dan memberitahu bahawa rider tersebut menerima bungkusan yang sudah dibuka itu dari awal lagi.
Rata-rata pengguna laman Twitter menasihatinya supaya lebih berhati-hati apabila membeli barangan elektronik secara online dan meminta wanita itu untuk membuat laporan.
Menurut seorang pengguna bernama @QueeeenShaq berkata, setiap kali dia menerima barang pembelian online, dia akan mengambil video ketika membuka barang tersebut supaya dapat digunakan sebagai bukti sekiranya barang sudah rosak sebelum dia menggunakannya.
“Saya akan buat video ketika membuka barangan tersebut supaya jika ada kerosakan pada awal, ada bukti rakaman bahawa barangan itu sudah rosak, bukan sebab saya,” jelasnya.
Pengguna bernama @noob_nonsense pula berkata, wanita itu perlu membuat aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Buat aduan pada SKMM. Jika awak buat aduan di sini, mereka akan siasat kes hingga selesai. Orang yang mengambil barangan tersebut perlu pulangkan semula kepada tuan badan apabila pihak atasan terima aduan. Saya cerita berdasarkan pengalaman saya,” katanya. – K! ONLINE