MELAKA – Taman Buaya dan Rekreasi Melaka kini membuka semula ‘pintu masuk’ kepada orang ramai untuk berkunjung dan melihat demonstrasi memberi buaya makan termasuk ketua sang bedal digelar King seberat 900 kilogram, namun secara alam maya menerusi Google Meet.
Pengurus Besar Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, Ahmad Syarifuddin Mohamad berkata, lawatan secara maya itu mula dibuka pada 12 Jun lalu dan seramai 10,000 permohonan pengunjung telah pun diterima untuk dua sesi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Katanya, sesi itu akan dibuat secara langsung melibatkan lawatan ke seluruh Taman Buaya dan Rekreasi Melaka meliputi acara demonstrasi memberi buaya makan, termasuk buaya gergasi King yang beratnya mencecah 900 kilogram dan panjang hampir 4.9 meter.
“Lawatan secara maya ini adalah alternatif yang dilakukan pihak kami sepanjang tempoh pandemik Covid-19 untuk terus memberi peluang kepada orang ramai termasuk individu, ahli keluarga dan organisasi mengadakan aktiviti melibatkan lawatan zoo.
“Sesi lawatan akan mengambil masa selama 1 jam 30 minit merangkumi pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi memberi buaya makan. Di taman ini kita mempunyai buaya terbesar digelar King yang akan diberikan 12 ekor ayam untuk sekali makan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, orang ramai yang berminat boleh mengisi borang permohonan dan membeli tiket berharga RM7 bagi setiap individu untuk mengikuti lawatan secara Google Meet itu menerusi talian 017-455 2294 atau emel [email protected]. – K! ONLINE