PETALING JAYA – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini membuka tempahan untuk model Arteon R-Line 4MOTION baharu.
Menurut kenyataan VPCM, model yang dipasang di Pekan, Pahang itu dijangka akan dijual pada harga antara RM245,000 antara RM255,000 apabila dilancarkan.
Katanya, Arteon merupakan model utama Volkswagen dan diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun lalu.
“Menampilkan gaya dan kelajuan, Arteon baharu hadir dengan beberapa penambahbaikan seperti kemas kini pada bahagian dalaman dan luaran, selain teknologi dan enjin baharu.
“Arteon menjadi model pertama yang menggunakan logo Volkswagen dan R baharu dengan karekter atletik Arteon R-Line diserlahkan dengan kemasan R-Line yang sporty,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, jeriji gril dan bampar hadapan model itu turut direka semula supaya kelihatan lebih mantap dengan lampu utama diod pemancar cahaya (LED) penuh.
“Pada bahagian belakang, lampu LED 3D dengan lampu isyarat membelok berturutan meningkatkan lagi karekter reka bentuk Arteon.
“Arteon sememangnya dibina untuk prestasi dengan enjin turbo 2.0L TSI yang dipadankan bersama kotak gear direct shift klac basah tujuh kelajuan DSG untuk menghasilkan kuasa maksimum 280PS dan tork 350Nm,” tambahnya.
VPCM menawarkan Arteon R-Line 4MOTION dalam lima warna seperti ialah biru (Lapiz Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Pyrite Silver) serta warna dengan efek mutiara hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).
Tempahan boleh dibuat di www.volkswagen.com.my.