ISU kecantikan dan daya seksual ternyata mempengaruhi tindakan seseorang. Perkara sama berlaku kepada seleberiti terkemuka, Kylie Jenner nekad mengambil keputusan menjalani prosedur menebalkan bibir atau lip filler selepas cara ciumannya diperkecilkan oleh seorang lelaki.
Mogul kecantikan berusia 23 tahun itu membuat pengakuan berkenaan dalam rancangan Keeping Up with the Kardashians reunion show, The Final Curtain Part 1 yang ditayangkan Khamis lalu menerusi saluran E! Online.
Berkata kepada pengacara Andy Cohen, ujar Kylie: “Minat saya terhadap alat solek bermula dengan rasa tidak selamat pada bibir sendiri. Saya tak pernah fikirkannya sampailah saya merasa ciuman pertama.”
Kenangnya: “Seorang lelaki cakap kepada saya ‘Awak cium dengan baik tapi awak memiliki bibir yang kecil’. Seingat saya dia cakap begitu dan sejak itu, saya rasa diri tidak layak dicium.”
Kylie yang mula bereksperimentasi dengan lip filler ketika berusia 17 tahun, berkata: “Saya sangat terkesan hanya kerana seorang lelaki cakap begitu. Saya tak tahu, apa yang dilontarkan dari bibirnya benar-benar memberi kesan kepada saya.
“Saya bukan rasa orang tak bernafsu dengan saya atau tak cantik. Saya benar-benar mahu bibir yang tebal dan mungil. Sebelum menjalani lip filler, saya akan lukis atau garis bibir hanya untuk berilusi memiliki bibir tebal.
“Kemudian akhirnya, saya fikir menggaris atau melukis bibir tak berkesan. Saya mula buat lip filler.”
Kylie mula kelihatan ‘berbeza’ sejak tahun 2014 ketika berusia 17 tahun. Dia hanya mengakui melakukan lip filler setahun selepas itu.
Pada 2015, ketika berusia 18 tahun, bukan hanya bibir, wajah sebenar Kylie juga mengalami transformasi disebabkan suntikan filler dengan beberapa spekulasi pembedahan plastik. Ramai mendakwa, dia juga melakukan pembedahan hidung namun perkara tersebut dinafikan sekeras-kerasnya. – K! ONLINE