ROM – Pasukan Wales mengharapkan pengalaman yang dimiliki oleh pemain tengah berpengaruh, Aaron Ramsey dapat membantu pasukan mencipta kejutan ke atas Itali pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Euro 2020 di Stadium Olimpico tengah malam ini.
Sebagai rekod, Ramsey merupakan satu-satunya pemain yang berada dalam skuad Wales beraksi di dalam kancah Serie A dengan mewakili kelab gergasi Itali, Juventus sejak dua tahun lepas.
Kini, pemain berusia 31 tahun itu menjadi sandaran buat pasukan The Dragons kendalian Rob Page untuk memastikan mereka dapat mengiringi Itali mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua berturut-turut selepas edisi Euro 2016.
Pemain tengah Wales, Joe Allen percaya meskipun Ramsey agak bergelut bersama Juventus sebelum ini, ia tidak memberi sebarang masalah buat mereka kerana percaya setiap kali diturunkan bersama skuad kebangsaan, bekas pemain Arsenal itu akan memberikan seratus peratus fokus dan kelebihan yang dimiliki.
“Kami tidak pernah memikirkan tentang tahap kecergasan Ramsey kerana dia seorang pemain bola sepak sejati dan situasi ini dibuktikan pada perlawanan lepas yang mana dia berlari tanpa henti untuk mendominasi jentera tengah. Malah, dia juga boleh menyumbangkan gol buat pasukan,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui oleh pemain pertahanan Wales, Connor Roberts yang percaya Ramsey layak digelar ayam tambatan pasukan kerana impak yang diberikan setanding kapten, Gareth Bale.
“Ramsey bukan sahaja boleh beraksi di posisi menyerang, malah dia juga agresif ketika membantu benteng pertahanan. Justeru, saya harap pengalamannya di Serie A dapat membantu pasukan meraih sesuatu pada aksi bertemu The Azzurri nanti,” katanya. – AGENSI