PETALING JAYA – Pelakon seksi, Intan Najuwa mengakui dia berasa puas kerana dapat melaram dengan mengenakan pelbagai pakaian ketika berkurung di dalam rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun dicop syok sendiri oleh pengikut Instagramnya.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid memberitahu, sejak PKP Penuh dilaksanakan awal bulan ini, dia kerap memuat naik video Reels dengan mengenakan beberapa jenis pakaian pelbagai warna.
“Ramai kata saya syok sendiri sebab dekat rumah pun sibuk nak melaram sana-sini.
“Ini cara saya, tambahan pula bukan saya langgar prosedur operasi standard pun. Saya di rumah sahaja dan tak keluar ke mana-mana pun,” katanya.
Menurut pelakon Tak Sempurna Mencintaimu itu, dia melaram untuk menghilangkan kebosanan duduk di rumah kerana aktiviti penggambaran ditangguh seketika ekoran PKP.
“Dengan cara itu (melaram), saya rasa puas dan dapat mengisi masa lapang di rumah. Sekurang-kurangnya rasa bosan tu dapatlah dikurangkan.
“Ramai juga tanya petua dan rahsia bagaimana saya mengekalkan kecantikan dan kesihatan diri sepanjang PKP,” ujarnya.
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti memuji bentuk badan langsing Intan yang menjadi idaman kebanyakan kaum wanita.
Terdahulu, Intan tidak mahu lagi dikaitkan dengan bekas tunangnya, Razrul Anwar Rusli selepas mengesahkan sudah membawa haluan hidup masing-masing sejak awal tahun lalu. -K! ONLINE