PASIR PUTEH – Polis Kelantan akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan masyarakat sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan pada 20 Julai depan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sehubungan dengan itu, lebih 4,000 anggota polis telah digerakkan bagi pelaksanaan penguatkuasaan SOP yang sama seperti sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Menurutnya, setakat ini, penguatkuasaan SOP sambutan Hari Raya Aidiladha masih melibatkan larangan merentas negeri dan daerah selain kaedah pelaksanaan ibadah korban.
“Berdasarkan SOP semasa, hanya kes yang melibatkan urusan kematian, rawatan, perubatan, membeli bekalan makanan dalam radius 10 kilometer sahaja dibenarkan pada Hari Raya Aidiladha nanti.
“Hasil pemantauan mendapati, tahap pematuhan SOP rakyat negeri ini berada pada tahap 95 peratus. Ia dapat dilihat apabila jalan raya lengang selepas pukul 8 malam setiap hari dan mereka patuh dengan hanya duduk di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat di sini hari ini. – K! ONLINE