fbpx

Pesona si jelitawan Loagan Bunut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JESS memasang impian mahu perkenalkan budaya kaum minoriti Berawan di Sarawak kepada dunia.– GAMBAR IHSAN ZULAZHAR SHEBLEE dan MUHAMMAD RAIS

SUBETNIK Berawan merupakan kaum minoriti di bawah Orang Ulu di Sarawak. Dikenali sebagai Lepo Pu’un atau bangsa asal, ribuan masyarakat kumpulan etnik terkecil di Bumi Kenyalang ini tinggal di 10 buah perkampungan di Tutoh dan Tinjar Hilir Baram, Bahagian Miri.

Kosmo! Ahad sempat me­nemu bual seorang gadis manis berketurunan Berawan, Jessica Awing Ureng, 26, yang menyimpan impian untuk memperkenalkan budaya etniknya ke mata dunia.

Jessica yang mesra dipanggil Jess kerap menyertai pertan­dingan ratu etnik di Sarawak, sesiapa yang memandangnya pasti tertawan dengan pesona ditampilkan.

Kepada wartawan Kosmo! Ahad, juruteknik pemprosesan di Ku­ching ini berkongsi panda­ngan dan kisah dirinya.

Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai asal usul Jess?
Jess: Saya anak kelahiran Berawan, salah satu kaum minoriti Dayak. Bapa saya dari subetnik Berawan, manakala ibu pula dari suku Kenyah dari Tinjar, Baram. Perkampungan kami hanya ada di kawasan Tutoh dan Tinjar Hilir Baram.

Boleh terangkan keistimewaan etnik Berawan?
Dahulunya kami dikenali sebagai Lepo Pu’un yang bermaksud bangsa asal ataupun owner of the land. Berawan mempunyai bahasa mereka tersendiri. Kami juga mempunyai adat dan tradisi tersendiri terutama sekali dalam perkahwinan dan kematian yang masih dikekalkan.

Apakah budaya Berawan yang tidak ada dalam etnik lain?
Tidak banyak bezanya. Antaranya seperti tarian tradisional, alat muzik Sape’, penggunaan manik, tinggal di rumah panjang dan sebagainya. Tapi yang paling unik sekali adalah cara penangkapan ikan menggunakan selambau yang diwarisi sejak turun temurun.

Bagaimanakah teknik selambau?
Tempat lain pun ada menggunakan kaedah seakan-akan selambau tapi sangat jarang kita lihat dipasangkan sekali dengan rumah rakit. Mungkin ada yang ingin merasakan pengalaman ini bolehlah berkunjung ke Taman Negara Loagan Bunut di Bahagian Miri.

Apa pendapat Jess mengenai golongan muda yang agak lantang bersuara hingga mengguris sensitiviti masyarakat lain?
Sememangnya tidak wajar ke­­­r­a­na budaya ­melambangkan identiti dan sifat majmuk masyarakat kita. Sentiasa berhati-hati dalam perkataan dan perbuatan.

Pernah menjadi johan pertandingan ratu cantik?
Belum pernah lagi. Saya hanya dapat tempat kedua dan ketiga.

Momen manis dan pahit jika ada?
Selain daripada mendapat ramai kenalan, pertandingan itu banyak membantu saya membina keyakinan dan memperkenalkan etnik kami kepada orang lain.

Difahamkan Jess pernah ke luar negara untuk mempersembahkan budaya Sarawak di sana? Bagaimana penerimaan mereka?
Saya dan rakan sekerja membuat persembahan sempena ­ulang tahun syarikat kami di Xian, China pada 2020. Mereka sangat kagum melihat ­pakaian tradisi dan persembahan kami. Sehinggakan mereka be­rebut-rebut mahu bergambar.

Menyentuh soal peribadi, apa yang anda gemar lakukan pada masa terluang?
Saya sering luangkan masa bersama kawan-kawan. Tapi sejak pandemik ini, saya banyak habiskan masa saya sendiri di rumah sahaja.

Ciri-ciri lelaki idaman Jess dan pandangan mengenai isu wanita perlu jadi ‘bodoh-bodoh sikit’ untuk mendapat jodoh?
Lelaki idaman saya adalah seseorang yang membuatkan saya rasa selesa, disenangi oleh keluarga dan mempunyai kepercayaan yang sama. Mengenai isu tersebut, ia terpulang de­ngan pandangan dan penerimaan masing-masing. Saya lebih memilih untuk menjadi diri sendiri.

Etnik di Bumi Kenyalang dikenali sebagai penduduk yang mempunyai nilai tole­ransi yang tinggi dan tidak terdapat di tempat lain. Apakah nasihat Jess untuk masyarakat hari ini?
Secara jujurnya saya pernah melakukan kesilapan disebabkan saya kurang pengetahuan dalam sesuatu hal. Jadi bagi saya kita haruslah mempelajari serba sedikit mengenai budaya sekeli­ling kita kerana kita akan lebih memahami dan menghormati kepelbagaian orang lain. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI