PETALING JAYA – Lebih 20 tahun membesar tanpa figura seorang bapa di sisi, penyanyi Kaka Azraff meluluhkan hati dan membuatkan mata pengikutnya ‘berkaca’ dengan ucapan ‘Selamat Hari ‘Bapa’ buat ibunya.
Ujar Kaka atau nama lengkapnya, Nor Atiqa Noor Azraff, selepas kematian bapa, ibunyalah yang bertanggungjawab menduduki kerusi lelaki termahal dalam hidup mereka sekeluarga.
“Lebih 20 tahun selepas ayah pergi, mama besarkan anak-anak sendiri. Seorang diri. Mama tak nak kahwin lain sebab dia nak jumpa ayah di akhirat.
“Insya-Allah mama, dengan izin-Nya. Mama kerja, mama bayar semua bil, mama handle (jaga) semua anak sendiri. Membesar dengan melihat usaha mama seorang diri buat semua ini, menjadikan Kaka kuat semangat untuk kejar impian iaitu, ‘nak buat mama hidup senang’,” katanya.
Luah pelantun lagu Gila itu, dia berjanji untuk sentiasa melunaskan impian iaitu membahagiakan ibunya, Redida Aziz yang kini berusia 66 tahun.
“Impian saya untuk membahagiakan mama dan saya takkan pernah berhenti selagi mama masih ada.
“Selepas pemergian ayah, mama tak pernah buat kami adik-beradik berasa kurang. Jadi untuk itu, ‘Selamat Hari Bapa’, mama. Nanti lepas semua ini dah berakhir, Kaka bawa mama pergi bercuti okey,” kata anak saudara Ratu Rock negara, Ella itu.
Kaka dilahirkan dan dibesarkan di Klang, Selangor. Bapanya, Noor Azraff Aminuddin meninggal dunia sekitar 20 tahun lalu. Sebelum ini, Kaka pernah berkongsi bahawa ibunya menyara hidup mereka sekeluarga dengan pendapatan sebagai pekerja kilang. – K! ONLINE