fbpx

MAIPk salur RM10 juta bantu golongan terkesan PKP 3.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan agihan khas berjumlah RM10 juta bagi Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup MAIPk untuk membantu keperluan kebajikan dan kehidupan mereka yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Bantuan sekali terima ini berjumlah antara RM200 hingga RM400 mengikut kategori penerima.

MAIPk dalam satu kenyataan memberitahu, peruntukan khas itu dikhususkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menutup operasi, golongan penjaja dan peniaga kecil serta pekerja B40 yang terjejas sumber pendapatan susulan penguatkuasaan perintah berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, antara golongan penerima yang disasarkan ialah penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk iaitu asnaf, fakir miskin, anak yatim dan penerima bantuan sewa rumah.

“Turut layak ialah golongan bersasar yang diuruskan oleh MAIPk dengan kerjasama agensi kerajaan atau persatuan seperti guru sekolah agama rakyat, peniaga dan petani yang berdaftar dengan agensi bertanggungjawab, pemandu pengangkutan awam dan orang kelainan upaya.

“Mereka yang bukan dalam kategori disebutkan tadi tetapi terjejas sumber pendapatan disebabkan PKP 3.0 juga boleh memohon untuk dipertimbangkan mengikut syarat yang ditetapkan,” ujar kenyataan tersebut.

Bantuan dana khas semasa PKP 3.0 ini bagaimana pun tidak dibuat melalui permohonan individu sebaliknya melalui kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh MAIPk.

“Kategori pertama iaitu penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk tidak perlu memohon kerana bantuan akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bermula bulan ini manakala golongan bersasar pula senarai nama mereka akan diperolehi menerusi jabatan atau agensi bertanggungjawab.

“Untuk golongan ketiga, penerima akan dikenal pasti pada peringkat daerah, mukim dan kampung melibatkan penghulu, ketua kampung dan jawatankuasa masjid di kawasan masing-masing,” jelas kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI