KUALA LUMPUR – Seorang pekerja penyelengaraan terjatuh ketika melakukan kerja-kerja menyelenggara penghawa dingin di tingkat 10, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu terselamat dalam kejadian sekitar pukul 6 petang itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian itu disedari anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Dang Wangi sejurus terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar lobi bangunan itu.
“Mereka segera ke lokasi untuk memeriksa dan terkejut mendapati seorang individu terbaring di atas lantai di luar lobi dengan tubuh badannya cedera.
“Mereka segera menghubungi ambulans untuk menghantar individu tersebut ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan rawatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, semakan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan penghawa dingin di tingkat 10, bangunan IPD.
“Justeru itu, kita mohon orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar atau video berkaitan kejadian ini yang boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya. – K! ONLINE