KLANG – Tindakan sebual kapal tangki minyak berlabuh tanpa kebenaran membawa padah apabila ditahan di kedudukan kira-kira 28 batu nautika barat daya Kuala Selangor, semalam.
Kapal dalam perjalanan ke Melaka dari India itu ditahan pukul 3.15 petang ketika Maritim Malaysia (APMM) Selangor melaksanakan operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Benteng Laut.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan ini juga berikutan hasil maklumat dan kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Tengah serta Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang telah mengesan kedudukan kapal ini berlabuh di luar batas Pelabuhan Klang tanpa kebenaran Ketua Pengarah JLM.
“Terdapat 22 kru lelaki termasuk nakhoda kapal berusia 28 hingga 63 tahun terdiri dari warga Indonesia, Korea, China dan Myanmar yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kepten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 ribu atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – K! ONLINE