KITA hanya mampu merancang tetapi Tuhan Yang Maha menentukan.
Frasa tersebut mungkin kedengaran sangat klise, namun tersembunyi banyak kebenaran. Sebagai manusia, kita mungkin boleh mengatur dengan secantik-cantik perancangan tetapi kalau sudah Yang Maha Kuasa tidak membenarkan sesuatu direalisasikan, maka tertangguhlah hasrat atau niat di dada.
Kita tunggu, dan terus menunggu sehinggalah seru Ilahi tiba pada waktu tepat. Begitulah juga dengan lelaki berstatus selebriti popular bernama Kamal Adli ini.
Bercerita soal masa depan bersama Pose, pemilik nama lengkap Ahmad Kamal Ahmad Adli itu berkata, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown sudah beransur ‘pulih’ dan rentas negeri dibenarkan, dia akan segera memperisterikan kekasih yang juga aktres jelita, Uqasha Senrose.
Tunaikan yang wajib
Buat masa sekarang, semua orang termasuk dirinya perlu patuh dengan ‘undang-undang’ yang ditetapkan kerajaan demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Kalau dah lama sangat (lockdown), kita teruskan dengan apa yang wajib dahulu. Tetapi sekarang ini, kita tunggu dan tengok dahulu bagaimana situasi Covid-19 negara.
“Kita hormat apa yang sedang berlaku sekarang. Tak mahulah main ‘langgar’, nanti orang cakap kita kayanganlah, saman itu ini. Kita tak nak perkara macam itu,” kata Kamal.
Jelas mantan juara Hero Remaja 2007/2008 itu lagi, kalau bukan disebabkan lockdown, dia sudah menjawat status sebagai suami kepada Uqasha atau nama lengkapnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29.
“Memang tiada tarikh spesifik (kahwin) lagi sekarang. Tak boleh nak cakap apa. Kalau tak sebab lockdown, minggu depan (minggu ini) rasanya kami kahwin.
“Kami tak nak benda ini (kahwin) dibuat secara ala kadar. Tunggu masa sesuai, nanti akan diumumkan. Insya-Allah kalau benda dah betul-betul akan diteruskan, kami akan cakap balik perkara ini,” tutur pelakon asal Pekan, Pahang itu.
Dedahnya lagi, perancangan mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka akan tetap diteruskan. Bagaimanapun, semua perancangan bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19 negara.
“Kami dah bayar semuanya. Memang tak boleh nak tarik balik duit. Seperkara lagi, saya nak majlis kahwin kami menjadi satu peristiwa yang saya dan isteri akan kenang sampai ke akhir hayat.
“Tak naklah nikah online ke apa atau yang boleh datang cuma 40-30 orang. Apa yang nak dikenang nanti,” kata Kamal yang mula dikenali menerusi menerusi drama adiwira, Bio-Nik sekitar 2009.
Industri hiburan ‘perlu’
Kini muncul dengan musim terbaharu drama lakonannya yang ditayangkan menerusi Viu Malaysia berjudul Black 2, sama seperti orang lain, Kamal tidak menafikan, kerjaya lakonannya juga sedikit terjejas disebabkan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu.
Katanya, walaupun pendapatannya sedikit terjejas disebabkan PKP, dia percaya, ada orang lain yang menerima nasib yang lebih teruk berbanding dirinya.
“Untuk saya, alhamdulillah, rezeki masih ada dan tak putus-putus. Industri hiburan ini diperlukan.
“Saya percaya, bekerja waktu pandemik menjadi cabaran buat semua orang. Untuk saya secara peribadi, memang terjejas tetapi masih dalam keadaan yang okey,” luahnya.
Apa pun, Kamal berkata, dia bersyukur kerana masih lagi diberi peluang dan kepercayaan untuk bekerja dalam bidang yang dicintainya iaitu lakonan.
“Rasa bertuah dan bersyukur. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita sentiasalah jaga diri dan orang-orang sekeliling.
“Macam siri Black, set penggambaran pun kita ‘mock up’ (buat sendiri) sebab nak jaga prosedur operasi standard (SOP). Kita buat dalam satu bangunan. Di situlah hospital, di situlah juga pejabat,” katanya.
Black, 444
Bercakap tentang siri Black 2, Kamal juga bertuah kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat tanah air seperti Adlin Aman Ramli, Khir Rahman, Nam Ron, Nabila Huda dan ramai lagi.
“Rasa seronok dapat bekerja dengan orang yang hebat. Semuanya otai.
“Pada masa sama, bekerja dengan mereka memberikan saya motivasi untuk buat yang terbaik dalam lakonan. Baik untuk Black dan projek akan datang,” kata Kamal.
Tambahnya, dia percaya produksi memilih dirinya menjayakan watak Malik atau 444 sejak musim pertama atas sebab kukuh iaitu dia seorang pelakon yang baik.
“Saya fikir ada sebab kenapa mereka ambil saya berlakon walaupun di set, perangai saya ‘gila-gila’.
“Daripada gemuruh nak kerja dengan orang hebat, semua jadi seronok dan kami berkawan sampai sekarang. Bukan mudah dapat bekerja dengan orang yang sudah selalu menang anugerah,” katanya.
Black 2 kini boleh ditonton secara eksklusif menerusi laman penstriman, Viu bermula sejak 10 Jun.
Karya arahan Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi tersebut meneruskan naratif Malik, lakonan Kamal. Malik seorang makhluk bunian dalam misi memburu rakannya yang telah melarikan diri ke alam manusia.