fbpx

‘Jual ikan, ambil upah angkut barang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JULIANA terpaksa menanggung kerugian apabila makanan kering yang dijualnya di Arked Niaga, Padang Besar terpaksa dibuang akibat rosak.

PADANG BESAR – Kebanyakan peniaga tempatan di pekan kecil ini terpaksa melakukan kerja lain termasuk menjual ikan dan mengambil upah memunggah barang dari kontena demi kelangsungan hidup.

Mereka merupakan peniaga yang terpaksa menutup kedai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak awal bulan ini.

Peniaga kasut terpakai MM Bundle, Syed Muhammad Muaz Syed Rosli, 30, berkata, pendapatannya terjejas teruk selepas jualan di tiga gerai yang menjadi sumber pendapatan sebelum ini terpaksa ditutup ekoran PKP 3.0.

Katanya, dia kini terpaksa be­kerja mengambil upah mengangkut barang antaranya bawang daripada kontena yang tiba dari Thailand.

“Ambil upah angkat barang ini pun bukan selalu ada, kadang-kadang hanya empat kali se­minggu.

“Biasanya kami terima upah RM200 dan perlu dibahagi de­ngan empat atau lima orang,” katanya di sini semalam.

Selain itu, katanya, dia turut mengusahakan jualan secara dalam talian tetapi sukar kerana persaingan harga.

“Dahulu saya boleh dapat pa­ling tinggi lebih RM1,000 sehari, namun kini hampir terputus pendapatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, peniaga produk makanan Thailand dan kain batik, Juliana Arshad, 43, berkata, dia dan suami, Imran Khan Jamshid, 35, kini menjual ikan bagi menyara empat anak.

“Kalau kami terus tunggu kerajaan benarkan kedai buka, anak-anak nak makan apa? Jadi saya dan suami usahakan gerai jual ikan di Kampung Kolam di Padang Besar,” katanya.

Katanya, sesekali dia akan melihat barangan jualan di gerai­nya di Arked Niaga yang ditutup sejak awal bulan.

“Sebahagian makanan terutama makanan kering seperti kerepek pisang hampir tamat tempoh. Saya terpaksa buang sekiranya baunya bertukar hapak,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga gerai makanan, Faridah Abdullah, 38, berkata, dia juga terpaksa menutup gerai makan kerana ketiadaan pengunjung.

“Saya tidak buat apa-apa, sekarang ini terpaksa korek duit simpanan untuk hidup,” tambahnya.

Kosmo! semalam melaporkan suasana sunyi di Padang Besar bagaikan ‘pekan hantu’ kerana ketiadaan pengunjung susulan pelaksanaan PKP Penuh sejak awal bulan ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI