MUNICH – Jerman terus menghidupkan peluang dalam kempen Euro 2020 apabila bangkit meraih kemenangan bergaya dengan membenam Portugal 4-2 dalam aksi Kumpulan F di Allianz Arena, Munich sebentar tadi.
Skuad kendalian Joachim Low yang dikritik hebat apabila tewas pada perlawanan pembukaan 0-1 kepada Perancis Selasa lalu akibat gol sendiri Mats Hummels, kini mempamerkan watak sebenar mereka ketika berdepan Portugal.
Pada perlawanan tersebut, Portugal membuka jaringan pembukaan pada minit ke-15 menerusi gerakan cantik Bernardo Silva yang membolehkan Cristiano Ronaldo untuk meledak gol ketiganya dalam saingan Euro musim ini.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Jerman terus melakukan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik Robin Gosens sebelum tertampan ke kaki pemain Portugal, Ruben Dias yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-35.
Tiga minit selepas jaringan penyamaan tersebut, Portugal terus dihukum apabila kesilapan benteng pertahanan memberi peluang kepada Jerman mendahului separuh masa pertama 2-1 selepas Raphael Guerreiro turut menjaringan gol sendiri pada minit ke-39.
Pada separuh masa kedua, Portugal terus tertekan apabila Jerman sekali lagi meraih gol ketiga berpunca daripada umpanan cantik Gosens sebelum Kai Havertz menewaskan penjaga gol Portugal, Rui Patricio pada minit ke-51.
Gosens terus menambah derita Portugal apabila sekali lagi menjadi watak utama pada perlawanan tersebut dengan berjaya meraih gol keempat buat pasukan Jerman pada minit ke-60.
Portugal yang dilihat tertekan dengan keadaan tersebut terus meningkatkan tempo permainan sebelum berjaya meraih gol kedua menerusi Diogo Jota berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-67.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun terus melancarkan serangan pada empat minit masa tambahan perlawanan, namun kedudukan 4-2 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan.
Bagi Jerman, keputusan itu pasti mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya selepas terdahulu tewas tipis 0-1 kepada Perancis pada aksi pembukaan. – K! ONLINE