TEL AVIV – Pentadbiran baharu Israel dan sahabatnya terdiri daripada negara-negara Arab menyuarakan harapan untuk menghidupkan semula inisiatif damai bersejarah dinamakan Perjanjian Ibrahim, lapor majalah Newsweek
Harapan itu disuarakan walaupun keganasan baharu tercetus antara Rejim Zionis dan rakyat Palestin di Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza.
Perjanjian normalisasi itu yang dimeterai tahun lalu oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi, mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Walaupun kedua-dua pemimpin itu tidak lagi berkuasa, semua negara yang menandatangani perjanjian tersebut memberitahu Newsweek bahawa mereka mahu kerajaan campuran baharu Israel diterajui oleh Perdana Menteri berhaluan kanan, Naftali Bennett dan Menteri Luar, Yair Lapid menggunakan persetujuan kontroversi tersebut bagi mencapai keamanan di Asia Barat.
“Kita perlu meneruskan perkembangan yang bermula dengan Perjanjian Ibrahim untuk berusaha mengukuhkan keamanan dengan negara-negara Teluk termasuk Mesir dan Jordan.
“Kita akan berusaha untuk menandatangani perjanjian (persahabatan) dengan lebih banyak negara di Asia Barat dan rantau lebih jauh. Proses ini tidak berlaku dalam masa sehari tetapi Kementerian Luar Israel akan menyelaraskan usaha tersebut,” kata Lapid Selasa lalu.
Perjanjian Ibrahim dan persetujuan normalisasi menjadi komitmen Lapid di sebalik kebimbangan negara-negara Arab berhubung keganasan Rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza baru-baru ini.
Sehari selepas pentadbiran baharu mengangkat sumpah, polis Israel dikritik kerana menyerang dan menangkap berpuluh-puluh warga Palestin yang membantah Perarakan Bendera.
Perarakan oleh kumpulan Yahudi berhaluan kanan itu sebagai meraikan penaklukan Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Enam Hari pada 1967.
Mereka berarak di Baitulmuqaddis sambil melaungkan slogan ‘Matilah Orang Arab’.
Sementara itu, UAE mengucapkan tahniah kepada Bennett dan Lapid pada Isnin lalu.
“UAE berbangga dengan persetujuan bersejarah Perjanjian Ibrahim yang mewujudkan peluang penting untuk mencapai keamanan dan kemakmuran di rantau ini terutamanya melibatkan manfaat politik, ekonomi, kesihatan dan kerjasama kebudayaan,” kata Duta UAE ke Israel, Mohamed Al Khaja.
Kerajaan Sudan tidak menjawab permintaan Newsweek untuk mengulas berhubung pentadbiran baharu Israel dan masa depan perjanjian normalisasinya dengan Israel.
Bagaimanapun, satu laporan oleh stesen penyiaran awam Sudan, Kan menyatakan pada minggu ini bahawa Khartoum tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut.
Sumber-sumber kanan kerajaan dilaporkan memberitahu Kan bahawa AS tidak mengotakan janji untuk membuat pelaburan besar dalam projek pertanian dan teknologi seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. – Agensi