TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas sebanyak 450 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup menggunakan sebuah kereta di kawasan Pengkalan Haram Dock di sini semalam.
Rampasan bernilai RM922.50 itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pukul 11.30 malam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan ketika melakukan rondaan di situ.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi itu, kelihatan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berada dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok.
“Pemandu kereta itu menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum bertindak melarikan diri.
“Pemeriksaan di dalam kereta itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 18 tong plastik di tempat duduk penumpang yang telah diubahsuai agar membolehkan ia membawa lebih muatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azanizam Affendi, selain minyak petrol, pihaknya turut menyita kereta tersebut yang dipercayai bernilai RM5,000. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE