SEBERANG PERAI – Seorang pencuri tong sampah besi dicekup polis dalam serbuan di kawasan Bayan Baru dekat sini kelmarin.
Suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.50 petang selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan tong sampah itu hadapan kedai di Kepala Batas di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang pemilik sebuah kedai aluminium menyedari kehilangan tong sampah itu selepas ia tiada di tempatnya di hadapan kedai.
“Semakan pada televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tong sampah yang digunakan sejak dua tahun lalu itu ditarik dengan sebuah lori kira-kira pukul 6.30 pagi pada Rabu.
“Lokasi kejadian adalah di hadapan sebuah rumah kedai dan tidak berpagar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pada serbuan itu, polis turut merampas sebuah lori pengangkut tong sampah, sebuah tong sampah besi yang ditutup dengan kanvas dan anak kunci bagi siasatan lanjut.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan itu menggunakan lori miliknya. Dia juga memiliki 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.
Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE