PETALING JAYA – “Allah sayang dia, Allah terlalu sayangkan dia. Dan, Allah tahu dia memang ahli syurga.”
Demikian kata selebriti popular, Nabil Ahmad apabila hasratnya untuk menimang cahaya mata keempat tidak kesampaian apabila isterinya, Nazirah Ayub mengalami keguguran beberapa hari lalu.
“Allah nak bawa dia pergi Syurga, Insya-Allah. Semoga dia bantu ibu dan ayahnya dekat akhirat nanti,” kata pengacara program MeleTOP itu ketika dihubungi kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Nabil atau nama lengkapnya, Ahmad Nabil Ahmad, 38, memberitahu, dia reda dengan segala perancangan Allah walaupun tidak menafikan mempunyai pengharapan untuk menimang cahaya mata lelaki.
“Saya jalani kehidupan sekarang mesti ada al-khauf (takut) dan al-raja’ (mengharap). Mengharap kepada untuk perkara-perkara yang baik.
“Takut kalau Allah tak terima kita, tak pandang kita. Tapi untuk urusan zuriat, memang sejak anak pertama, saya serah 100 peratus pada Allah sebab kita manusia memang tiada kuasa untuk buat apa-apa.
“Kalau Allah kata tak jadi, maka tidak jadilah. Ini (keguguran) berlaku kali pertama, Alhamdulillah dapat handle (tangani) dengan baik dan tenang.
“Memang saya tak nafikan memang ada pengharapan untuk tambah zuriat dan mahukan anak lelaki tapi saya sentiasa berserah. Rezeki dapat ketiga-tiga anak, memang saya berserah. Kalau tak jadi, kita tak kecewa sangat,” luah Nabil.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan lagi, dia percaya bahawa Allah sebaik-baik perancang dalam setiap kehidupan manusia.
“Saya dan isteri cuba kuatkan diri masing-masing. Allah tahu apa yang terbaik buat kita. Dialah sebaik-baik perancang.
“Allah suruh buat lagi, rancang lagi. Itu sahaja. Insya-Allah,” katanya.
Semalam, isteri Nabil mendedahkan dia mengalami keguguran ketika usia kandungan mencecah tiga bulan menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Terdahulu, Nabil dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Naira Mikayla, 9, Layla Medyna, 6 dan Mishall Imani, 2. – K! ONLINE