GOIANIA – Venezuela melakar kejutan apabila berjaya mengikat Colombia dengan seri tanpa jaringan pada aksi kedua Copa America 2021 yang berlangsung di Estadio Olimpico Pedro Ludovico pagi semalam.
Biarpun hanya berjaya melepaskan satu percubaan tepat ke arah gawang lawan, mereka berjaya mempamerkan aksi berdisiplin untuk menafikan hasrat Colombia meraih kemenangan kedua.
Venezuela yang merupakan salah satu daripada dua pasukan yang tidak pernah memenangi gelaran Copa America berdepan tekanan hebat sebelum kempen kali ini bermula apabila lapan pemain mereka disahkan positif Covid-19.
Pada aksi berkenaan, Colombia berjaya melepaskan 17 percubaan ke arah pintu gol Venezuela, namun tiada satu pun yang berjaya menerjah jaring ekoran kecekapan penjaga golnya, Wuilker Farinez yang berjaya mengekang asakan berkenaan.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada penjaga gol Venezuela kerana menampilkan aksi yang sangat berkualiti. Dia menyebabkan kami tidak mampu meraikan sebarang jaringan kali ini
“Saya seakan tidak percaya dengan peluang yang kami miliki, akhirnya kami pulang dengan satu mata sahaja. Ia sangat mengecewakan dan kami perlu menambah baik sentuhan penyudah,” kata jurulatih Colombia, Reinaldo Rueda.
Pada aksi pertama, Colombia berjaya meraih tiga mata penuh selepas berjaya menundukkan Ecuador 1-0 dan mereka kini berada di kedudukan kedua di belakang Brazil bagi Kumpulan B.
Colombia bakal menentang Peru untuk aksi ketiga, manakala Venezuela pula akan turun mencari kemenangan pertama pada aksi kedua berdepan Ecuador di mana kedua-dua perlawanan itu berlangsung pagi Isnin depan.
– AGENSI