IPOH – Seorang mangsa dipercayai maut dalam satu kemalangan membabitkan treler yang merempuh sebuah kereta dan kedai di Jalan Ipoh-Lumut, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, treler dari arah Lumut menuju ke Ipoh dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebuah kereta Proton Persona dan kedai.
Jurucakap Pusat Operasi Gerakan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya bersama jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba kita mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler, setakat ini terdapat dua mangsa dalam kereta tersebut.
“Kita terpaksa menggunakan khidmat sebuah kren untuk menarik treler berkenaan. Operasi menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, maklumat lanjut berhubung kejadian serta keadaan mangsa akan dikemaskini. -K! ONLINE